PENGAJARAN TATABAHASA BAHASA MALAYSIA
PENGAJARAN TATABAHASA
Baru-baru ini beberapa orang guru
termasuklah guru pelatih yang sedang menjalani latihan praktikum telah
menanyakan soalan tentang teknik atau cara untuk mengajarkan tatabahasa kepada
murid-murid. Mereka mengatakan bahawa kebiasaannya murid-murid kurang berminat
untuk belajar tatabahasa.
Pengajaran tatabahasa yang
dijalankan di dalam kelas selalunya kurang menarik dan membosankan murid-murid,
malahan ada juga guru yang kurang berminat untuk mengajar murid dalam bahagian
ini. Fenomena yang biasanya didapati di sekolah ialah pengajaran tatabahasa
diajarkan secara induktif. Hal ini bermakna aspek tatabahasa diajarkan secara
langsung dengan menerangkan hukum atau rumus tatabahasa iaitu sesuatu yang
khusus terlebih dahulu, kemudian barulah dibincangkan contoh-contohnya yang
umum. Sepatutnya pengajaran tatabahasa boleh dipelbagaikan bentuknya. Oleh itu,
guru-guru perlu kreatif untuk memilih teknik pengajaran yang menarik dan
bekesan kepada murid-murid. Bagi murid pula, mereka kebiasaannya kurang
berminat untuk belajar tatabahasa kerana menganggap perkara itu menyusahkan
tambahan pula teknik yang digunakan tidak menarik perhatian murid.
Sebenarnya banyak teknik yang boleh
digunakan untuk mengajarkan tatabahasa kepada murid-murid. Seelok-eloknya guru
harus berbincang dengan pelajar itu sendiri tentang teknik yang disukai oleh
mereka. Dengan berdasarkan pengalaman saya sendiri, murid-murid lebih berminat
dengan teknik yang menarik seperti nyayian dan nasyid, lakonan, dialog, kuiz
serta forum. Oleh itu, antara teknik yang menarik dan sesuai untuk pengajaran
dan pembelajaran tatabahasa adalah menerusi teknik nyayian. Jadi, perkara
penting yang perlu diberikan perhatian oleh guru ialah teknik tersebut perlulah
menarik perhatian pelajar dan tidak membosankan mereka.
Selain itu, teknik
pengajaran juga perlu berpusatkan pelajar dan guru cuma menjadi fasilitator
atau pembimbing mereka. Pendekatan yang selalu dicadangkan oleh pakar-pakar
pengajaran tatabahasa adalah dengan menggunakan pendekatan deduktif iaitu
bermula dengan generalisasi atau contoh-contoh, kemudian barulah dibincangkan
rumus atau peraturan yang khusus.
Seperti yang telah dinyatakan
tadi, antara teknik pengajaran tatabahasa yang menarik dan tidak membosankan
pelajar ialah teknik nyanyian atau lagu. Hal ini demikian kerana, banyak lagu
yang mengandungi lirik yang sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran. Di
samping menyanyikan lagu, murid-murid diminta merujuk lirik lagu. Oleh itu,
guru perlu menyediakan lirik lagu tersebut terlebih dahulu dan mengedarkannya
kepada pelajar. Berikan arahan dan bincangkan tugasan yang perlu dibuat oleh
mereka selepas menyanyikan lagu tersebut. Sebagai contohnya, guru-guru boleh
meminta murid menyenaraikan jenis-jenis kata yang terdapat dalam lirik lagu itu
seperti kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata sendi. Selain itu,
gunakan lirik lagu untuk mengesan kesalahan tatabahasa untuk mengelakkan rasa
bosan para pelajar untuk mempelajari tatabahasa.
Selain teknik nyanyian, guru-guru
juga boleh menggunakan keratan akhbar atau majalah untuk membincangkan aspek
tatabahasa. Karya-karya komsas selain sajak seperti cerpen, prosa tradisional,
novel, pantun, syair dan gurindam juga boleh digunakan untuk pegajaran
tatabahasa. Hal ini bermakna, semasa pengajaran komponen sastera, guru-guru
juga boleh menyelitkan aspek tatabahasa dalam perbincangan pelajar. Dengan kata
lain, pengajaran tatabahasa tidak diajarkan secara langsung tetapi secara tidak
langsung. Hal ini dapat mengurangkan masalah kebosanan dan kurang minat murid
untuk belajar tatabahasa.
Guru-guru perlu menggunakan keratan akhbar, majalah atau risalah untuk
membincangkan aspek tatabahasa. Jadi secara tidak langsung, pelajar-pelajar
mendapat manfaat yang berganda iaitu selain memahami atau mencari isi penting
daripada petikan itu, mereka juga dapat mengesan kesalahan-kesalahan bahasa
yang terdapat di dalamnya. Sekurang-kurangnya teknik ini kuranglah membosankan
pelajar kerana guru telah menetapkan fokus yang hendak dibincangkan daripada
sesuatu bahan atau petikan tersebut
Di samping itu, guru juga boleh
menyelitkan aspek tatabahasa ini setiap kali semasa membincangkan karangan,
rumusan karangan, dan juga semasa mengalih bentuk teks. Perkara ini perlu
dilakukan kerana setiap latihan yang dinyatakan itu tadi melibatkan aspek
tatabahasa. Sebagai contohnya, semasa menulis karangan, rumusan karangan dan
mengalih bentuk teks, pelajar-pelajar terpaksa membina ayat yang melibatkan
aspek tatabahasa. Hal ini juga menunjukkan bahawa pengetahuan pelajar dalam
Kertas 1 perlu diaplikasikan dalam Kertas 2.