Thursday 11 July 2013

Meningitis (Jangkitan Selaput Otak)
Meningitis (Jangkitan Selaput Otak)
Apa itu meningitis?
  • Meningitis adalah jangkitan selaput otak yang disebabkan oleh kuman (bakteria, virus, tuberculous dan lain-lain). Bakteria yang paling kerap menyebabkan meningitis di kalangan kanak-kanak ialah dari spesis Haemophilus influenzae, Streptococcus pneumoniae dan Neisseria meningitides. Lebih daripada  90% kes melibatkan kanak-kanak kurang daripada 5 tahun dan 50% adalah di kalangan bayi kurang daripada 6 bulan. 
  •  Ia adalah penyakit berjangkit yang merebak daripada seseorang pembawa kuman (dewasa atau kanak-kanak lain) kepada pesakit melalui cecair pernafasan di udara apabila seseorang itu batuk atau bersin.
Apakah tanda-tanda dan gejala?
Tanda-tanda meningitis kanak-kanak adalah bergantung kepada umur pesakit, jenis bakteria, sama ada antibiotik telah dimulakan dan jangka masa seseorang kanak-kanak itu telah dijangkit.
Gejala-gejala awal:
  • Demam tinggi
  • Rasa kurang selesa, merengek
  • Kurang bermaya, kurang menyusu
  • Sakit kepala dan bermuntah-muntah
  • Ruam atau bintik-bintik merah yang merebak dengan cepat ke seluruh badan (jika dijangkiti bakteria Neisseria meningitides)
Gegala-gejala lewat:
  • Ubun-ubun berbonjol (Bulging fontanelle)
  • Kekejangan leher
  • Sawan
  • Kurang tahap kesedaran diri dan kurang bertindak-balas
  • Koma
Bagaimana meningitis boleh dipastikan?
Jangkitan meningitis hanya boleh dipastikan dengan sepenuhnya melalui pemeriksaan cecair tulang belakang. Pemeriksaan ini juga penting untuk memastikan jenis kuman yang dijangkiti supaya pesakit boleh dirawat dengan antibiotik yang betul.
Apakah komplikasi meningitis?
Meningitis adalah jangkitan otak yang serius. Dalam kadar 10%, ia boleh mendatangkan maut dan 30% lagi boleh menyebabkan komplikasi jangka panjang. Rawatan awal dengan antibiotik yang tepat dan jangka waktu yang cukup adalah penting untuk mengelak atau mengurangkan komplikasi-komplikasinya.
Komplikasi jangka panjang yang boleh berlaku termasuk:
  • Sawan
  • Hydrocephalus (pengaliran cecair serebrospinal tersekat dan menyebabkan kepala membesar dengan mendadak)
  • Lewat atau kemerosotan perkembangan
  • Kurang upaya pendengaran / pertuturan
  • Kurang upaya penglihatan
  • Lumpuh / Cerebral palsi
Bagaimana meningitis boleh dirawat?
  • Lazimnya, antibiotik yang sesuai akan diberi selama satu hingga dua minggu bergantung kepada jenis bakteria yang dijangkiti dan respon pesakit kepada rawatan yang diberi.
  • Pesakit yang tidak sedar diri atau mempunyai sawan yang susah dikawal lazimnya memerlukan rawatan di unit rawatan rapi dengan pertolongan alat pernafasan, rawatan khusus untuk mengawal sawan, mengurangkan bengkak dan tekanan dalam otak dan lain-lain rawatan sokongan yang perlu.
Bagaimana meningitis boleh dicegah?
  • Sesetengah jenis meningitis bakteria boleh dicegah melalui suntikan pelalian kanak-kanak. Minta nasihat doktor.
  • Untuk mengelakkan jangkitan meningitis daripada merebak kepada ahli keluarga terutamanya kepada kanak-kanak yang berumur kurang daripada lima tahun, antibiotik yang tertentu akan diberi kepada mereka yang berisiko tinggi terutamanya jika kanak-kanak itu dijangkiti oleh bakteria Haemophilus influenzae atau Neisseria meningitides.
Penyakit Meningitis Dewasa

Apakah Penyakit Meningitis ?
Meningitis adalah satu penyakit melibatkan keradangan pada selaput otak dan saraf tunjang.
Penyakit meningitis boleh disebabkan oleh jangkitan virus atau bakteria. Salah satu bakteria penyebabnya ialah Neisseria meningitidis dan jangkitan oleh bakteria ini dipanggil sebagai jangkitan Meningococcal Meningitis.
Penyakit meningitis kebanyakannya berlaku di kalangan kanak-kanak dan remaja tetapi boleh juga melibatkan pelbagai umur. Mereka yang mempunyai tahap imuniti yang rendah, kontak terdekat pesakit dan pelancong yang melawat kawasan wabak juga mempunyai risiko tinggi mendapat jangkitan.
Cara Jangkitan
Penyakit meningitis berjangkit secara langsung melalui titisan rembesan salur pernafasan dari hidung dan tekak orang yang dijangkiti.
Tanda dan Gejala Penyakit Meningitis
5 hingga 10 peratus daripada mereka yang dijangkiti tidak menunjukkan gejala penyakit.
Tanda-tanda dan gejala adalah seperti berikut :-
  • Demam
  • Sakit kepala yang teruk
  • Loya
  • Muntah
  • Ketegangan atau sakit pada tengkuk
  • Mata terasa sensitif melihat cahaya (photosensitive)
  • Ruam pada badan
  • Lain-lain tanda seperti kepeningan dan kebingungan (drowsiness and confusion)
Komplikasi Penyakit Meningitis
Tanpa rawatan yang sempurna, pesakit meningitis mungkin mengalami masalah sistem saraf seperti lumpuh dan pekak atau kematian.
Rawatan Penyakit Meningitis
Sekiranya anda mempunyai tanda dan gejala penyakit meningitis, anda diminta menjalani pemeriksaan dan pengesahan di klinik atau hospital yang berdekatan. Penyakit Meningococcal Meningitis boleh dirawat menggunakan antibiotik. Pengambilan antibiotik untuk pencegahan (prophylaxis antibiotic) hanya disyorkan kepada kontak terdekat pesakit. Penyakit Meningococcal Meningitis boleh dicegah melalui pemberian pelalian. 
Pencegahan Penyakit Meningitis
  • Vaksin yang digunakan dipanggil Meningococcal Quadrivalent Vaccine ACYW-135
  • Vaksin ini disyorkan diberi kepada pelancong/pelawat yang pergi ke kawasan endemik seperti negara-negara Afrika, Amerika Selatan dan Asia Tengah termasuk Arab Saudi bagi mereka yangmengerjakan haji dan umrah
  • Vaksin ini diberi 2 minggu sebelum melancong atau lawatan dibuat. Pemberian vaksin ini boleh menberi ketahanan diri terhadap penyakit meningitis selama 3-5 tahun.
  • Pemberian vaksin secara rutin kepada kanak-kanak adalah tidak digalakkan.
  • Vaksin ini boleh didapati di hospital dan klinik kesihatan kerajaan dan swasta