Saturday 16 March 2013


HALA TUJU MEMARTABAT BAHASA MELAYU

          KUALA LUMPUR (Malaysiaaktif) – Langkah kerajaan mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pentadbiran seperti mana yang diumumkan oleh Timbalan Perdana  Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu disokong oleh semua pihak bagi memastikan peranannya tidak hanya terbatas sebagai bahasa kebangsaan  semata-mata.
            Sebagai bahasa kebangsaan dan peranannya sebagai bahasa  untuk memupuk perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini, bahasa Melayu dilihat gagal diangkat kepada kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan ketika sebahagian besar rakyat khususnya di kalangan bukan Melayu lebih selesa menggunakan sama ada bahasa ibunda masing-masing atau bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan sehari-hari.
         Malah setelah negara mencapai kemerdekaan selama 54 tahun, isu berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu masih timbul dan diperdebatkan.  Penggunaan bahasa Melayu di sektor swasta mahu pun di sektor awam masih belum mencukupi untuk meletakkan bahasa itu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan.
          Berbeza dengan negara-negara lain yang mengangkat tinggi bahasa ibunda masing-masing, bahasa Melayu boleh dikatakan terpinggir dalam banyak aspek di mana ia banyak berpunca daripada sikap rakyat yang gagal mengangkat bahasa sebagai jiwa bangsa selain ketidaktegasan kita dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
         Kita boleh lihat sehingga ke hari ini kita masih mewar-warkan kempen mahu pun slogan seperti ‘Cinta Bahasa Kebangsaan’, ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ dan menentukan bulan-bulan tertentu dalam setahun sebagai kempen ‘Bulan Bahasa Kebangsaan’  di mana kempen dan slogan-slogan seumpama itu menunjukkan kita masih bergelut  untuk mengangkat dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
         Kita tidak pernah menafikan jauh sekali untuk menidakkan kepentingan mempelajari bahasa asing khususnya bahasa Inggeris dalam era dunia tanpa sempadan hari ini. Tetapi dalam masa yang sama kita perlu memelihara dan mempertahankan bahasa Melayu sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa keilmuan.
         Mengangkat dan mewajibkan penggunaan bahas Melayu dalam segala urusan rasmi dan pentadbiran kerajaan perlu dilihat daripada sudut positif.  Bahasa Melayu hari ini semakin jauh terpinggir disebabkan oleh tanggapan dan sikap kita sendiri yang melihat berbahasa Melayu  tidak menampakkan kecerdikan atau keintelektualan seseorang.
          Kita boleh lihat bagaimana bahasa Melayu ‘dilacurkan’ dan dicampuradukkan  bukan sahaja dalam pertuturan sehari-hari  tetapi juga dalam program-program ilmu seperti program-program bual bicara yang banyak mengisi slot televisyen ketika ini.
         Umpamanya dalam program bual bicara Bajet 2012 terbitan sebuah  stesen swasta baru-baru ini membuat kita mual dan mungkin juga meluat melihat telatah tetamu yang dijemput mencampuradukkan bahasa Melayu dan Inggeris walaupun pengacaranya nampak jelas berusaha untuk menjadikan perbincangan dan program tersebut berbahasa Melayu sepenuhnya.

         Bagi kita yang melihat dan mendengar, bukan sahaja merasa terkilan apabila melihat bahasa Melayu diperlakukan dengan sebegitu rupa tetapi juga menimbulkan banyak persoalan.  Adalah lebih baik jika rancangan tersebut disiarkan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris jika tetamu yang dijemput (ke semuanya orang Melayu yang tentunya fasih berbahasa Melayu) merasakan diri mereka lebih selesa berbahasa Inggeris daripada berbahasa Melayu!
         Ini lah realiti yang harus kita terima apabila memperkatakan tentang kedudukan bahasa Melayu di negara ini. Kebanyakan daripada kita masih dibelenggu dengan pemikiran yang sikap bahawa dengan berbahasa Inggeris, kita nampak lebih cerdik dan intelek.

        Perlu diingat, mempelajari atau menguasai bahasa Inggeris atau apa juga bahasa lain hanyalah sekadar untuk menambah ilmu dan bukan sesekali untuk memartabatkannya.  Sebaliknya bagi sesetengah daripada kita, apabila menguasai bahasa Inggeris,  mereka mengangkat dan memartabatkannya sehingga memikirkan bahasa ibunda.
        Saya sendiri pernah melalui pengalaman sedemikian apabila diajukan apakah saya ingin mengadakan wawancara dalam bahasa Melayu atau Inggeris kerana  orang yang mengaku dirinya orang Melayu dan mengamalkan sepenuhnya adat dan budaya Melayu itu, tidak lagi selesa berbahasa Melayu!
      Kelangsungan bahasa dan budaya sebenarnya bergantung kepada bagaimana sesuatu  bangsa itu melihat dan menghargai bahasanya sendiri.  Ketika bahasa Melayu semakin mendapat perhatian dan minat yang ditimbulkan oleh orang asing terhadap bahasa ini semakin meningkat, kita seharusnya bangga dan mengakui hakikat bahawa bahasa Melayu punya tempat tetapi semuanya bergantung kepada sejauh mana kita mengangkat dan memartabatkannya.       

Sumber : http://malaysiaaktif.my/v2/index.php/News/Issues/HALA-TUJU-MEMERTABAT- BAHASA-MELAYU.html

 

 


No comments:

Post a Comment