Sunday 17 March 2013


PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013 - 2025

OBJEKTIF DAN PENDEKATAN KAJIAN SEMULA Laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan merupakan hasil penyelidikan yang mendalam dan pelibatan meluas masyarakat yang dijalankan oleh Kementerian. Pelan Pembangunan Pendidikan dibangunkan dengan tiga objektif khusus, iaitu:
1.Memahami prestasi dan cabaran semasa sistem pendidikan Malaysia dengan memberi tumpuan terhadap akses kepada pendidikan, meningkatkan standard (kualiti), merapatkan jurang pencapaian (ekuiti), mengukuhkan perpaduan dalam kalangan murid, serta mengoptimumkan kecekapan sistem;
2.Mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas untuk sistem pendidikan dan setiap murid bagi 13 tahun akan datang;
3.Menggariskan program transformasi sistem pendidikan, yang merangkumi perubahan penting dalam Kementerian bagi memenuhi permintaan baharu dan harapan masyarakat yang meningkat, menyemarak serta menyokong keseluruhan transformasi perkhidmatan awam. Pendekatan yang digunakan dalam penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan adalah berani dan ulung kali dilaksanakan. Perspektif daripada pelbagai pakar dan agensi antarabangsa telah digarap untuk menilai dan mentaksir prestasi sistem pendidikan Malaysia.
          Kementerian juga bekerjasama dengan agensi kerajaan yang lain untuk memastikan jajaran dengan dasar awam yang lain berkaitan pendidikan. Sebagai contoh, Kementerian bekerjasama dengan PEMANDU untuk membangunkan inisiatif pendidikan menerusi Program Tranformasi Kerajaan (GTP)2.0 bagi mencerminkan pembaharuan utama yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan dalam tempoh 2013-2025.
     Tambahan lagi, buat pertama kalinya Kementerian telah melibatkan penyertaan rakyat secara besar-besaran. Sepanjang tempoh setahun, lebih 50,000 orang pegawai Kementerian, guru, pemimpin sekolah, ibu bapa, murid dan orang awam di seluruh negara telah dilibatkan melalui temu bual, kumpulan fokus, tinjauan, dewan terbuka Dialog Nasional dan perbincangan meja bulat. Kementerian telah melantik panel pakar yang terdiri daripada 12 ahli tempatan dan empat ahli antarabangsa bagi menyediakan input bebas terhadap dapatan kajian semula sistem pendidikan negara.

No comments:

Post a Comment