Saturday 16 March 2013


Masalah Dan Cabaran Bahasa Melayu

 

             Antara masalah yang sering dihadapi oleh guru-guru Bahasa Melayu ialah pelajar yang berbangsa Melayu beranggapan bahawa bahasa Melayu tidak perlu dipelajari lagi kerana mereka menuturkan bahasa Melayu setiap hari. Oleh itu, mereka banyak melakukan kesalahan bahasa kerana menganggap perkara itu betul dan tidak salah. Tambahan pula, mereka menjadikan media massa sebagai rujukan. Walaupun media massa pada hari ini menunjukkan kesungguhan untuk membetulkan kesalahan bahasa tetapi masih terdapat kesalahan yang biasa dilakukan. Oleh itu, kita haruslah membetulkan kesalahan yang biasa dilakukan dan membiasakan perkara yang betul.

      Bahasa yang terdapat pada papan iklan atau papan tanda jalan juga banyak yang salah. Kita sering melihat kata-kata seperti Selekoh Merbahaya, Kedai Jahit Wanita, Minah Restoran, Pusat Membeli-belah, dan sebagainya. Oleh itu, pihak yang berkuasa dalam menguatkuasakan bahasa ini iaitu DBP sepatutnya menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepada mereka untuk memantau kesalahan bahasa dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Sekiranya masalah ini tidak dilakukan sudah tentu banyak pihak yang menganggap kesalahan tersebut bukan satu kesalahan.
      Selain itu, pengaruh bahasa sms juga menyebabkan masalah ini semakin buruk. Para pelajar sepatutnya tidak terpengaruh oleh bahasa sms semasa menulis karangan. Mereka seharusnya membezakan bahasa sms dengan bahasa penulisan karangan. Bahasa sms memang sesuai digunakan semasa hendak menghantar pesanan ringkas tetapi tidak sesuai digunakan dalam karangan atau dalam majlis formal. Antara bahasa sms yang popular digunakan sekarang seperti,sape, takyah, takde. xde, ko, keje, ak, gi, camne, katne, dan watpe.
      Pengaruh bahasa Inggeris pula memang tidak dapat dielakkan tetapi hendaklah digunakan dalam bentuk dan peraturan yang betul. Kita tidak boleh menggunakan sekerat bahasa Melayu dan sekerat lagi dalam bahasa Inggeris. Perkara inilah yang dikatakan bahasa rojak atau sekerat ular, sekerat belut, dan bercampur aduk. Para pengguna bahasa perlu menggunakan bahasa yang betul dan tidak menggunakan bahasa rojak dalam majlis rasmi atau dalam tulisan.
        Sebagai contohnya, mereka menggunakan perkataan yang tidak baku dalam jawapan, seperti analisa, minima, optima, tengahari, pasaraya,alatulis, aturcara, barisan guru-guru, dan sebagainya. Sepatutnya, mereka perlu mengetahui alasan atau sebab sesuatu kesalahan bahasa itu untuk memantapkan penguasaan bahasa mereka.


No comments:

Post a Comment